Thursday, September 13, 2007

6 Prinsip 'MADE TO STICK" dan Pengucapan Awam


6 prinsip yang dikemukakan oleh Heath bersaudara di dalam buku MADE TO STICK yang saya ulas dalam kiriman saya yang lepas, amat baik untuk diamalkan ketika kita membuat persembahan awam seperti ucapan awam.
Salah seorang yang saya minati dalam persembahan awam ialah Ketua Pegawai Ekesekutif (CEO) bagi Apple Inc. , Steve Job. Dalam setiap ucapan dasar yang beliau buat semasa Persidangan MacWorld, persembahan beliau amat menarik sekali. Kesemua prinsip yang dikemukakan buku MADE TO STICK dipergunakan di dalam persembahan Steve Job. Samada ini secara kebetulan atau tidak, persembahan Steve Job amat menarik. Ianya memecahkan tradisi kebanyakan persembahan yang menggunakan power point yang mengandungi teks yang berjela-jela dan amat menjemukan.
Anda boleh menonton persembahan Steve Job ketika beliau memberi siaran media mengenai produk baru iPOD baru-baru ini, dengan menekan di sini.

Wednesday, September 12, 2007

Selamat Menyambut Kedatangan Ramadhan Al-Mubarak

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan pada hari Rabu ini, 13 September, 2007. Semuga kedatangan Ramadhan dengan perintah ibadah puasa akan meningkatkan keimanan kita dan memperbaiki tahap kesihatan kita.
Marilah kita mengganda aktiviti membaca sempena bulan Ramadhan ini.


Sunday, September 9, 2007

MADE TO STICK


Saya membeli buku "MADE TO STICK" tulisan dua bersaudara, CHIP dan DAN HEATH, setelah membaca ulasan buku tersebut dari laman web Presentation Zen.
Buku "Made To Stick" boleh diperolehi dari kedai buku TIMES dengan harga RM87.89. Fokus perbicaraan buku ini ialah mengenai mengapa beberapa idea sangat berpengaruh dan diingati berpanjangan manakala kebanyakan idea mudah hilang dari ingatan dan dilupa oleh pendengar begitu saja.
Dari hasil kajian CHIP HEATH dan DAN HEATH, ada 6 prinsip yang menjadikan sesuatu idea itu mempunyai pengaruh berpanjangan iaitu:
1. SIMPLICITY - Ringkas dan Padat. Dalam konteks kita, Ini banyak terbukti di dalam penciptaan simpulan bahasa dan peribahasa. Contohnya: Bagai aur dengan tebing. Ianya ringkas dan padat malah tetap diingati oleh kebanyakan kita
2. UNEXPECTEDNESS:Idea yang disampaikan dengan satu kejutan yang tidak disangka-sangka oleh pendengar akan mudah diingati.
3. CONCRETENESS : iaitu idea yang konkrit yang dijelaskan dengan melibatkan amalan harian
4. CREDIBILITY : Idea yang dapat dipraktikkan
5. EMOTIONS : Idea yang menyentuh perasaan pendengar
6. STORIES; Idea yang disampaikan melalui cerita.

Kesimpulannya, sesuatu idea itu akan mempengaruhi pendengar malah akan diingati pendengar berpanjangan sekiranya ia disampaikan dengan 6 prinsip ini yang dirangkumkan oleh HEATH bersaudara dalam satu perkataan iaitu "SUCCESs" - Simple Unexpected Concrete and Credible Emotional Stories. (SUCCESs).

Walaupun 6 prinsip ini mudah, malah sudah diketahui oleh kebanyakan kita, namun kita tidak mengamalkannya dalam menyampaikan idea-idea kita kepada pendengar. Mengapakah ini berlaku? Kata Heath bersaudara, ini adalah disebabkan oleh satu fenomena yang sering melanda golongan ilmuwan yang dinamakan "Curse of Knowledge" (Sumpahan Ilmu).
Sumpahan ilmu ialah satu keadaan di mana ilmuwan tidak dapat merasa bagaimana keadaan tidak mengetahui ilmu yang telah diketahuinya. Oleh kerana itu apabila dia menyampaikan ilmu, dia menggunakan bahasa yang teknikal sehinga pendengar tidak dapat memahami mesej yang disampai. Dia menggunakan bahasa yang tinggi dan bombastik kerana dia rasa pendengar faham sebagaimana dia faham tentang maklumat yang disampaikan.

Blogged with Flock

Saturday, September 8, 2007

BOOKCASTLE





BookCastle Enterprise - satu-satunya kedai buku terpakai yang terbesar di bandaraya Kuching. Kedai buku ini terletak di Jalan Keretapi, Kuching. Ianya diusahakan oleh Encik Jonathan Lim, seorang bekas pendidik di Kolej INTI,memiliki kelulusan dalam IT dan MBA dalam Pengurusan Pelajaran dari UK.
Menurut Encik Jonathan Lim, BookCastle dengan mantranya "Your treasure trove for used books", mendapat bekalan buku-buku terpakai dari Washington DC.
Dua minggu yang lalu, saya berkunjung untuk entah kali ke berapa ke BooksCastle dan sempat membeli buku-buku berikut:
1. TEACHING ADULTS - A Handbook for Instructors, Gary Diskinson
2. THE ACTOR AT WORK, Robert L. Benedetti
3. CHI KUNG - Increase Your Energy, Improve Your health, Wei Yus Sun, MD et al
4. CLINICIAN'S POCKET REFERENCE, Leonard G. Gomella, MD
5. A SYNOPTIC HISTORY OF CLASSICAL RHETORIC, Edited by James J. Murphy
Kalau anda ke Kuching dan ingin mengunjungi Bookcastle, bolehlah hubungi saya. Saya amat berbesar hati untuk membawa anda ke sana.

Bermulanya Budaya Membaca

Budaya membaca mula bertapak dalam diriku apabila dihadiahkan oleh Pak Su  beberapa buah buku komik semasa aku belajar di sekolah rendah sekitar tahun 1973/74. Semenjak itu aku terus membaca terutama novel-novel dan cerpen melayu koleksi Pak Su seperti Panglima Awang, Anak Panglima Awang, Tajul Muluk, Kisah Seribu Satu Malam, Rumah itu Dunia ku , Tenggelamnya Kapal Vander Wijk, Di bawah Lindungan Kaabah dan sebagainya. 
Skop bacaanku kemudiannya bertukar dari novel kepada buku-buku agama, buku sains terutamanya perubatan, ekonomi, peningkatan diri dan sebagainya.
Aku mulakan blog ini untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan dari buku yang  kubaca dengan para pengunjung blog ini. 
Semasa aku bertugas di Hospital Sarikei Sarawak sekitar awal tahun 1990an, budaya membacaku telah membeku untuk beberapa tahun. Ini kerana tidak ada perpustakaan yang memenuhi skop pembacaanku, tidak ada kedai buku yang menjual buku selain dari buku-buku teks sekolah dan kemudahan internet masih belum wujud seperti sekarang. 
Budaya membacaku cuma dapat berkembang apabila aku mempunyai peluang melawat Kuala Lumpur di mana aku akan berkunjung ke beberapa kedai buku besar seperti Pustaka Antara, Kedai buku Popular, MPH dan Time.
Di era tahun 1990an, di bandar Kuching cuma beberapa kedai buku yang wujud seperti Berita Bookstore dan Kedai Buku Islam di Jalan Hj. Taha. Sekarang ada beberapa kedai buku besar di bandaraya Kuching seperti Times Bookstore di Pasaraya Parkson, Premier Bookstore di Sarawak Plaza, My@Bookstore, Sinar Suci dan Kedai Buku Islam di Jalan Hj. Taha, Popular Book Store di Kompleks Tun Jugah dan Pasaraya BDC , Smart Bookshop di Hock Lee Centre dan University Book Store (UBS) di Wisma SABERKAS.
Kesemua kedai buku di atas menjual buku-buku terkini di pasaran termasuk buku teks sekolah dan universiti.