Sunday, December 20, 2009

BELASUNGKAWA : Pemergian Sdr Anthony Yeo



Dalam usaha saya membuat pencarian di FACEBOOK(fb) terhadap beberapa nama orang yang memberi impak terhadap keilmuan saya, saya terkejut menemui laman fb yang disumbangkan untuk Mendiang Anthony Yeo,yang telah meninggal dunia pada bulan Jun, 2009 yang lalu, klik di sini. Saya sebenarnya, bukanlah pelajar yang belajar kaunseling secara formal dengan beliau tetapi saya menganggap diri saya sebagai murid kepadanya. Perkara ini berlaku begitu lucu sekali. 10 tahun yang lalu, saya menjumpai salinan buku beliau 'Counselling : A problem-solving Approach' di sebuah pusat fotokopi. Pekerja fotokopi tersebut menjualnya kepada saya kerana orang yang mem'fotokopi' buku tersebut menolak salinan yang dibuat kerana tidak begitu teratur dan baik mutunya. Membaca buku tersebut telah menambahkan kefahaman saya mengenai ilmu kaunseling. Buku beliau telah memperkenalkan pendekatan kaunseling dengan menggunakan kaedah menyelesaikan masalah. Beliau telah memperkenalkan kaedah yang dinamakan 'PADI'. Semenjak itulah saya telah menggunakan kaedah PADI dalam memberi kaunseling kepada pesakit saya. Saya bertuah kerana pada bulan Mei, 2008 saya berkesempatan untuk menghadiri kursus kaunseling yang diberi oleh beliau anjuran Persatuan Wanita Sarawak. Kursus kaunseling sebagai persediaan menghadapi keadaan krisis dan trauma itu telah meyakinkan saya bahawa Anthony Yeo memang seorang yang tinggi ilmu dan kepakarannya dalam bidang psikologi dan kaunseling. Saya sempat membeli buku asal " COUNSELING : A Problem-Solving Approach" dan meminta beliau menandatangani buku tersebut.
Selain daripada itu, semasa kursus tersebut beliau telah mengungkapkan satu kata-kata yang menyentuh perasaan saya hingga kini. ketika itu saya kebetulan baru menghadapi kehilangan ayahanda tercinta yang pulang mengadap ilahi. Kata-kata Anthony yang hingga kini begitu mengesankan ialah semasa di kuburan ibunya, kata Anthony beliau menulis "In Live you live for us; In death, you live in us". Kata-kata inilah yang selalu mengingatkan saya kepada jasa ayahanda sepanjang hayatnya.
Pemergian Sdr Anthony Yeo pada bulan Jun tahun ini merupakan kehilangan yang amat besar kepada dunia kaunseling di Asia Tenggara kerana beliau telah berjaya menjadikan bidang kauseling satu bidang yang menarik dengan memperkenalkan kaedah PADI yang sesuai untuk digunakan dengan keadaan semasa di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Belasungkawa! Semuga keluarga beliau bersabar menghadapi dugaan ini.
Ulasan saya mengenai buku beliau boleh dibaca di sini.

A GUIDE TO PHILOSOPHY


Buku terbaru menjadi koleksi saya ialah 'A GUIDE TO PHILOSOPHY' - The Hidayat al-Hikmah of Athir al-Din al-Mufaddal ibn Umar al-Abhari al-Samarqandi, hasil kajian ilmiah yang dibuat oleh Dr Syed Ali Tawfik al-Attas (SA Tawfik Al-Attas). SA Tawfik Al-Attas adalah putera kepada cendekiawan, filasuf dan pemikir Islam kontemporari yang terkenal iaitu Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Buku ini mengandungi Lima (5) bahagian iaitu:
•Pengenalan : yang membicarakan latarbelakang konseptual mengenai kajian dan Kehidupan dan kerja Al-Abhari
•Bab 1 yang menerangkan keadaan intelektual sebelum Al-Abhari
•Bab 2 membicarakan tentang signifikan Al-Hidayat al-Hikmah dalam Kesusasteraan Falsafah Islam dengan menumpukan perbincangan tentang Logik, Fizik dan Metafizik
•Bab 3 memuatkan terjemahan Teks Hidayah Al-Hikamah di dalam Bahasa Inggeris
•Bab 4: Teks asal Hidayat Al-Hikmah dalam Bahasa Arab.
Athir al-Din merupakan salah seorang ahli filasuf Islam yang hidup semasa Fahaman Aristotelianisme berada di puncaknya walaupun mendapat kritikan yang tajam dari Imam Al-Ghazali. Buku ini merupakan Bimbingan kepada Ilmu Falsafah berlandaskan Aristotelisanisme yang difahami dan diinterpretasi oleh ahli-ahli falsafah muslim.

Saturday, December 5, 2009

Sumber Konsep Kesihatan dari pandangan Islam

Sunday, September 20, 2009

Selamat Menyambut Eidul Fitri

Alhamdulillah, hari ini kita menyambut kedatangan syawal, hari kita kembali semula kepada fitrah setelah menjalani tarbiyah terhadap nafsu sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak. Pemergian Ramadhan tentu menyedihkan kita setelah tekun menjalani ibadah puasa selama sebulan, semuga ibadah puasa kita mendapat keberkatan dan diterima Allah Taala. Ketibaan Syawal tentu disambut dengan penuh kesyukuran, berbekal dengan tarbiyah madrasah Ramadhan diharap kita dapat meningkat nafsu kita ke tingkat mutmainnah.
Begitulah sunnah kehidupan ini, kita perlu sentiasa memperbaiki diri dan prestasi agar ilmu dan amal kita meningkat.

Monday, September 14, 2009

THE FIQH OF MEDICINE


Buku ini pula saya beli pada 19 Ogos, 2003. Ianya merupakan sebuah tesis kedoktoran Dr Ahmed Abdel Aziz Yacoub, seorang Pakar Bedah Jantung yang juga lulusan Sarjana Muda dan Sarjana Undang-Undang dari Universiti Kaherah.
Buku ini membedah sumber perundangan Islam dan responnya terhadap perkembangan dan isu terkini dalam bidang sains perubatan. Buku ini setebal 349 mukasurat, diterbitkan oleh Ta-ha Publishers Ltd London pada tahun 2001. Ia mengandungi 10 bab - bab 1 hingga 5 memfokuskan perbicaraan mengenai Fiqh Islam dan pandangan Islam mengenai PerTanggunjawaban doktor perubatan dan para pesakit.
Manakala Bab ke 6 hingga 9 membincangkan isu isu terkini bidang perubatan seperti Eutanasia, Pencegahan Dan Pengguguran Kandungan, Reproduksi & Kloning dan Transplan Organ.
Isu-isu ini dikupas dari sudut pandangan mazhab-mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali.
Buku ini penting untuk dimiliki oleh doktor perubatan yang ingin mengamalkan ilmu perubatan dalam acuan dan perspektif Islam. Tujuan Syariah juga dijelaskan dengan mendalam, sumber sumber hukum-hakam syariah bermula dari Al-Quran dan Hadis, Qiyas dan Ijtihad juga dibincangkan dengan panjang lebar. Sikap hikmah para ulamak mazhab-mazhab hanafi, maliki, syafie dan hambali dalam menghadapi perbezaan pendapat mereka juga dijelaskan.

BUKU FAHAM ILMU - Pertumbuhan Dan implikasi


Alhamdulillah, aktiviti membaca saya dalam bulan Ramadhan al mubarak ini meningkat dari bulan yang lain. Saya sempat ulangbaca sebuah lagi buku dari koleksi peribadi saya yang berjodol : FAHAM ILMU - Pertumbuhan Dan Implikasi, setebal 126 halaman yang diterbit oleh Nurin Enterprise pada tahun 1990. Mengikut catatan dibuku, buku ini saya beli pada 1 Mei, 1993. Buku ini mengandungi sekumpulan esei yang ditulis oleh beberapa cendekiawan tempatan yang juga tokoh dalam bidangnya iaitu:
1. Di Sekitar Permaslahan Ilmu ; tulisan Dr Ghazali Basri
2. Pandangan Hidup Islam dan Implikasi Terhadap Pendidikan di Malaysia oleh Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
3. Pengislaman Ilmu - Peranan Para Cendekiawan ;tulisan Dr Siddiq Fadzil
4. Konsep Ilmu dan Implikasi kepada Perkembangan Kurikulum oleh Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
5. Budaya Ilmu tulisan Ahmad Muhammad Said.
Pengantar buku ini di tulis oleh Sdr Mohd Idris Jauzi.
Buku ini menjelaskan faham ilmu yang antara lainnya memetik takrifan ilmu yang dikembangkan oleh seorang Cendekiawan dan Pemikir kontemporari Islam yang tersohor, Prof. Syed Muhammad Naquib Al Attas iaitu takrifan yang pernah dikemukakan oleh Fakhruddin Al-Razi (m. 1209M) :" Merujuk kepada Allah sebagai sumber segala ilmu, ilmu adalah ketibaan makna ke dalam diri seseorang. Bila merujuk kepada diri sebagai penafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna sesuatu". Takrifan ini jelas sekali membezakan ilmu daripada maklumat atau fakta. Walaupun ilmu memerlukan maklumat akan tetapi ia memerlukan maklumat yang benar yang membawa makna kepada pemiliknya.
Kalau kita kaji, sejarah ilmu adalah sejarah kemanusiaan itu sendiri. Perbahasan mengenai ilmu telah bermula sejak zaman Yunani Kuno lagi. Teori keilmuan atau epistemologi cuba menjawab persoalan pokok seperti: Dari mana datangnya idea? Adakah ia lahir bersama sama kita? Adakah ianya terbit dari renungan dan pemikiran atau didapati dari pengalaman pancaindera kita?
Persoalan-persoalan di atas telah melahirkan fahaman Rasionalisme dan Empiricisme. Faham Rasionalisme mengatakan secara semula jadinya kita semua berfikir yang natijahnya kita mempunyai idea dan idea ini akan membentuk ilmu. Makalan Fahaham Faham Empiricisme pula mengatakan bahawa ilmu itu cuma diperolehi daripada pemerhatian kita kepada dunia di sekeliling kita.
Pokoknya, faham faham ini cuba memisahkan Allah sebagai sumber segala ilmu. Apabila pemisahan ini berlaku, ilmu akan membentuk faham 'sekular' yang cuma membicarakan hal masa kini dan hal di sini (waktu dan ruang semasa). Fahaman Sekularisme atau diisitilah oleh Prof. SM Naquib sebagai KEDISINIKINIAN inilah yang menyebabkan kita kehilangan adab. ADAB adalah merupakan pantulan dari HIKMAH di mana kita bertindak berdasarkan keadilan. Hikmah itu pula ilmu yang memberitahu kita tempat yang sesuai bagi tiap tiap sesuatu. Kehilangan ADAB inilah yang mengancam kita sekarang.
Di zaman ICT ini, adakah kita betul betul mendapat ilmu atau cuma "maklumat" sahaja, bak kata Penyair T S Elliot (dalam The Rock):
" All our knowledge brings us nearer to our ignorance
All our ignorance brings us nearer to death
But nearest to death no nearer to God
Where is the life we have lost in living?
Where is wisdom we have lost in knowledge?
Where is knowledge we have lost in information?"

Thursday, September 10, 2009

MINDA MELAYU BARU


Dalam bulan Ramadhan ini, saya mengulangbaca beberapa buku dari koleksi peribadi saya. Salah satu dari buku yang sempat saya ulangbaca ialah buku berjodol 'MINDA MELAYU BARU' yang memuatkan kumpulan artikel tulisan Mantan Presiden ABIM, Ustaz Dr Siddiq Fadzil. Kumpulan artikel tulisan beliau ini pernah disiarkan dalam kolum MINDA Akhbar Berita Minggu lebih sedekad yang lalu. Buku ini setebal 190 halaman mengandungi 5 BAB.
BAB-BAB ini diberi jodol tertentu sperti berikut :
Bab 1: Melayu Baru dan Cabaran Abad 21 mengandungi 6 artikel.
Bab 2: Dinamika Berfikir dan Budaya Ilmu mengandungi 8 artikel
Bab 3: Islam dalam Sejarah dan Tradisi Politik Melayu dengan 4 artikel
Bab 4: Islam dan Budaya Kerja dengan 5 artikel dan
Bab 5: Islam dalam Realiti Masyarakat Masakini yang mengandungi 8 artikel.
Buku ini diterbit oleh Institut Kajian Dasar (IKD) pada tahun 1992(Cetakan Pertama). Buku ini menggambarkan minda Dr Siddiq Fadzil yang melihat beberapa isu semasa dari perspektif Islam. Banyak rujukan terhadap konsep yang diperkenalkan oleh Prof. Dr Muhammad Naquib Al-attas juga diketengahkan.
Saya ingin memetik artikel pertama dalam Bab ke 5 yang bertajuk : MENYOROT TITIK-TITIK KELEMAHAN UMAT. Dalam artikel ini, Dr Siddiq memaparkan 4 gejala kelemahan yang menghambat kebangkitan umat menurut pandangan Almarhum Bapak Muhammad Natsir, mantan Perdana Menteri Indonesia dan Tokoh Masyumi itu.
Pak Natsir mengatakan bahawa umat Islam rata-rata dilanda 4 masalah iaitu:
1. Ketiadaan Inventarisasi 2. Hobi bermusuhan 3. Tidak menghargai diri 4. Rakus dunia, Takut pada risiko.
Ketiadaan Inventarisasi bermaksud kekeringan idea dan kemuflisan daya cipta sehingga tidak mampu mengembang dan memanafaatkan potensinya. Masalah ini bagi saya masih begitu menggejala di kalangan umat di era globalisasi ini, di mana di saat ini kita cuma rela menjadi pengguna bukan pencipta. Kita mengalami gejala 'captive mind' hasil daripada sistem pendidikan yang kita lalui.
Menjelaskan hobi bermusuhan, Pak Natsir menurut artikel Dr Siddiq itu, umat Islam sangat senang punya lawan. Kalau ada musuh mereka bersatu, bila musuh sudah tiada, mereka mencari musuh di kalangan sendiri. Gejala ini bagi saya masih jelas di kalangan para politikus dewasa ini. Seolah olah kita memang sudah berbudaya begitu.
Selanjutnya, Pak Natsir menjelaskan masalah sikap tidak menghargai diri di mana umat Islam tidak tahu nilai diri dan segala yang mereka miliki. Mereka cuma mampu menilai atau terpengaruh dengan kemilau yang dimiliki orang lain. Mereka lebih mudah kagum dengan segala keanehan dari luar. Mereka tidak menyedari bahawa diri mrekea dan milik mereka sebenarnya lebih unggul dari semuanya itu.
Masalah umat yang keempat iaitu rakus pada dunia dan takut pada risiko adalah berdasar kepada hadith Hubbu 'ddunya wa karahiyyatu 'l-mawt. Mungkinkah gelaja ini yang menjadi penyebab utama penyakit rasuah yang terus mengakar di negara kita dewasa ini.


Thursday, April 9, 2009

PETIKAN DARI BUKU 'MONDAY MORNING MENTORING'


Baru-baru ini saya membaca buku 'Monday Morning Mentoring' yang ditulis oleh David Cottrell. Buku yang setebal hampir 200 mukasurat itu memaparkan kisah bagaimana penulis yang mengalami zaman kesuraman dalam kerjayanya, telah bertemu dengan seorang pembimbing(mentor) yang bernama Tony Pearse. Tony Pearse bersetuju menawarkan bimbingan kepada penulis dengan syarat berikut:
1. Menghadiri bimbingan setiap hari Isnin selama 10 minggu
2. Bercakap benar
3. Hadir dan menamatkan sesi bimbingan tepat pada masanya
4. Mengajarkan segala ilmu yang diperolehi semasa sesi bimbingan kepada orang lain
Saya ingin berkongsi di sini, bab terakhir buku tersebut mengenai bimbingan yang diberi oleh Tony kepada penulis pada minggu terakhir iaitu mengenai hadiah dari satu legasi.
Mengikut Tony, legasi ialah apa yang telah kita lakukan dalam kehidupan kita. Legasi bermula apabila seseorang itu meninggalkan zon keselesaan dan melangkah masuk ke zon legasi. Untuk menghadiah sesuatu dari legasi, seorang itu memerlukan ilmu.
Zon legasi itu sendiri mempunyai 3 ruang. Ruang pertama ialah Ruang Membaca. Melalui ruang inilah seseorang itu dapat memperolehi ilmu yang banyak. Kejayaan seseorang mempunyai hubungan erat dengan tahap ilmu seseorang. Dengan membaca kita dapat memperolehi banyak jenis ilmu dari pengurusan kepada kepemimpinan, dari sains kepada falsafah. Masalahnya, ramai dari kalangan kita tidak mahu membaca sedangkan terdapat bertimbun-timbun buku di perpustakaan menunggu pengunjung datang membacanya.
Ruang kedua dalam zon legasi ialah ruang mendengar. Ramai pengurus organisasi bersikap taksub, tidak sensitif dan sombong diri kerana mereka tidak mempunyai keterampilan mendengar. Mereka tidak mahu mendengar maklumbalas dan luahan perasaan dari orang sekeliling mereka. Keterampilan mendengar boleh kita perolehi dengan banyak menghadiri seminar dan bengkel dan termasuklah menggunakan masa semasa memandu kereta dengan mendengar kaset-kaset ceramah bimbingan dan motivasi. Ketrampilan mendengar merupakan satu syarat penting untuk berjaya dalam hidup. Dalam satu sesi bimbingan minggu sebelumnya, penulis memetik Tony menamakan orang yang tidak mempunyai keterampilan mendengar sebagai mengalami 'psychosclerosis' iaitu keras minda. Orang yang mengalami keras minda ialah orang yang tidak mahu menerima pendapat orang lain dan pada peringkat yang teruk orang yang tertutup mindanya untuk mendengar pendapat orang lain. Alangkah indahnya agama kita apabila kita diingatkan supaya jangan berkata-kata ketika khatib membaca khutbah kerana ia boleh menghilangkan pahala jumaat. Bukankah ini satu peringatan betapa pentingnya keterampilan mendengar.
Ruang ketiga dalam zon legasi ialah ruang menyumbang. Untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat kita mestilah ada ilmu. Inilah titik permulaan zon legasi.
Hadiah dari satu legasi merupakan amal kebajikan yang kita sumbangkan kepada masyarakat semasa kita hidup. Ilmu dan amal kebajikan merupakan satu-satunya hadiah dari legasi kita yang berkekalan seperti maksud sebuah hadis berikut:
Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda :
“Apabila seorang anak Adam meninggal, maka akan terputus amalannya kecuali tiga perkara : shadaqoh jariyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak shalih yang mendoakan kepadanya” (HR Abu Hurairah)


Wednesday, February 11, 2009

Memperingati AlMarhum Mohammad Natsir


Buku bertajuk ' MOHAMMAD NATSIR : Berdakwah di jalur Politik, Berpolitik di jalur Dakwah', yang saya tempah dari WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH) telah sampai di tangan saya pada hari ini. Buku ini berharga RM20.00, diterbit WADAH bersama KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR (KUIS).
Buku ini diterbit sempena memperingati 100 tahun Pak Natsir, seorang Pahlawan Nasional ummah. Buku ini mengandungi 14 makalah yang ditulis oleh mereka yang rapat dengan Pak Natsir seperti DS Anwar Ibrahim, Dato' Dr Siddiq Fadzil, Prof. Dr Sidek Baba, Muhammad Rivai Batubara dan lain-lain. Saya akan membaca buku ini minggu ini dan akan mengulas mengenainya dalam tulisan akan datang.

Monday, February 9, 2009

ANDA MENGALAMI TEKANAN? BACALAH BUKU INI


Tekanan atau dalam bahasa Inggerisnya 'STRESS' merupakan fenomena kehidupan yang perlu kita hadapi. Kita tidak boleh lari dari tekanan. Tekanan ibarat hantu, ia amat menakutkan tetapi tidak nampak dengan mata kasar kita.
Tekanan terbahagi kepada dua jenis. Pertama yang mendorong kita untuk mencapai sesuatu dan yang kedua tekanan yang menyebabkan kita tidak ketentuan. Tekanan jenis pertama dinamakan 'Eustress' contohnya,peperiksaan akademik yang mendorong kita untuk belajar. Tekanan jenis kedua pula dipanggil 'DISTRESS' yang jika dibiarkan boleh membunuh kita.
Jika anda mengalami tekanan, saya syorkan anda membaca buku bertajuk ' 7 DAY STRESS RELIEF PLAN' yang ditulis oleh Prof. Dr Mohammed Hatta Shaharom, seorang Professor Psikiatrik dan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Cyberjaya.
Dalam buku ini, penulis membincangkan tekanan secara holistik yang meliputi 4 dimensi kehidupan iaitu spiritual, fizikal, sosial dan mental. Kekurangan dalam mana-mana dimensi ini perlu di atasi dahulu jika kita mahu menangani tekanan. Ini memerlukan muhasabah diri atau refleksi.
Buku ini menggariskan program selama 7 hari untuk mengatasi tekanan berdasar kepada kaedah holistik. Buku ini boleh dibeli di Toko Buku MPH.

Saturday, January 31, 2009

WE WILL NOT GO DOWN - Lagu Untuk Gaza

Lagu yang digubah oleh Michael Heart, antara lain liriknya :

A blinding flash of white light
Lit up the sky over Gaza tonight
People running for cover
Not knowing whether they're dead or alive

They came with their tanks and their planes
With ravaging fiery flames
And nothing remains
Just a voice rising up in the smoky haze
.............
Lagu tersebut (dalam bentuk MP3) boleh di muat turun di sini dan boleh ditonton dalam YouTube di sini. Muatlah lagu tersebut ke telefon bimbit anda, tanda sokongan kepada penduduk Gaza.

HARAPAN DAN PAHLAWAN BARU UMMAH


Dalam berita TV malam tadi, dilaporkan Perdana Menteri(PM) Negara Turki, Tayyib Erdogan telah menunjukkan sikap protes beliau  yang keras terhadap Presiden Yahudi Israel, Simon Perez. Tindakan beliau yang berani meninggalkan  Forum Khas di Davos yang dihadiri oleh  Perez sebagai bantahan tidak diberi peluang saksama untuk menjawab dan memberi pandangan terhadap kenyataan bohong Perez mengenai pencerobohan di Gaza. Dalam kelesuan ummah Islam, kini muncul PM Erdogan sebagai harapan dan pahlawan baru Ummah. Begitulah nasib kita, hatta di Forum pun keadilan tidak dapat dilaksanakan oleh pengerusi yang ternyata lebih memihak kepada Israel.

Tuesday, January 27, 2009

KATA-KATA HIKMAT

'INNOVATION distinguishes between a leader and a follower' - Steve Job, CEO Apple Inc.

'Yang MUDAH kita kerjakan sekarang, Yang SUSAH kita kerjakan nanti,Yang MUSTAHIL kita kerjakan esok' - Allahyarham Pak Natsir, Mantan Perdana Menteri Indonesia & Ketua Umum Masyumi.

Monday, January 26, 2009

TAARE ZAMEEN PAR


Filem lakonan  Aamir Khan ini mengisahkan  seorang budak yang mengalami masalah "dyslexia". Ibubapa pelajar yang bernama Ishaan, terlalu mementingkan keputusan sekolah dari proses pembelajaran dan menganggap Ishaan seorang budak yang malas dan nakal kerana Ishaan tidak mendapat keputusan peperiksaan sekolah secemerlang  abangnya. Bapa Ishaan lalu menghantar Ishaan ke sekolah berasrama yang beliau fikir akan dapat menyelesaikan masalah Ishaan. Di sekolah ini, para guru juga tidak memahami masalah pelajar dysleksia seperti Ishaan. Ishaan disisihkan oleh para guru dan kawan-kawan sekelasnya. Ishaan mengalami tekanan perasaan dan selalu memikirkan cara untuk membunuh diri. Nasib baik ada seorang pelajar yang cacat sebelah kakinya bersimpati dan mahu berkawan dengan Ishaan.
Mujurlah juga, ada seorang guru seni(lakonan Aamir Khan)  yang baru berpindah ke sekolah tersebut yang kebetulan mengajar di sekolah pelajar kurang upaya. Aamir Khan mengenalpasti masalah Ishaan. Aamir Khan pergi ke rumah ibubapa Ishaan untuk membincangkan masalah Ishaan namun telah menerima sambutan dingin dari ibubapanya. Bapa Ishaan terutamanya tetap  menganggap Ishaan seorang anak yang malas dan nakal. Beliau tidak mahu Ishaan bergantung kepadanya sepanjang hidup Ishaan kelak. Aamir Khan cuba memberi kefahaman kepada bapa Ishaan mengenai masalah dyslexia tetapi bapa Ishaan merupakan seorang yang mempunyai pemikiran yang tertutup. Antara lain, Ameer Khan menyuruh bapa Ishaan membaca tulisan Jepun, bapa Ishaan ternganga kerana tidak memahami tulisan tersebut lalu Ameer Khan memarahi bapa Ishaan seperti mana bapa Ishaan memarahi Ishaan. 
Filem ini amat menyentuh perasaan dan patut ditontoni oleh para guru dan ibubapa. Kebanyakan para guru dan ibubapa di zaman ini  terlalu  'exam-oriented' dan 'result oriented'  menyebabkan para pelajar dan anak-anak tertekan. Sepatutnya kita menggunakan pendekatan berorientasikan proses. Bukankah dalam agama kita mengatakan walaupun kita tewas dalam perjuangan mempertahankan agama kita namun kematian kita tetap dikatakan mati syahid. Wallahu alam

Tuesday, January 13, 2009

The Ethics of Disagreement in Islam


Buku ini yang menghuraikan adab berbeza pendapat dalam Islam, yang ditulis oleh Ulamak Islam kontemporari  yang terkenal, Dr Taha Jabir al-Alwani. Buku ini saya beli semasa Pesta Buku Antarabangsa di PWTC pada 4 April, 2008. Buku ini menjelaskan  bahaya gejala taksub kepada pendapat jika tidak dibendung dan Adab yang dianjur oleh Islam dalam perbezaan pendapat. Buku ini mengandungi 10 bab setebal 160 mukasurat, diterjemah oleh Abdul Wahid Hamid dari teks asal bahasa Arab atas judul : Adab al Ikhtilaf fi al Islam. Buku ini boleh dibaca secara online, sila klik di sini.