Thursday, April 9, 2009

PETIKAN DARI BUKU 'MONDAY MORNING MENTORING'


Baru-baru ini saya membaca buku 'Monday Morning Mentoring' yang ditulis oleh David Cottrell. Buku yang setebal hampir 200 mukasurat itu memaparkan kisah bagaimana penulis yang mengalami zaman kesuraman dalam kerjayanya, telah bertemu dengan seorang pembimbing(mentor) yang bernama Tony Pearse. Tony Pearse bersetuju menawarkan bimbingan kepada penulis dengan syarat berikut:
1. Menghadiri bimbingan setiap hari Isnin selama 10 minggu
2. Bercakap benar
3. Hadir dan menamatkan sesi bimbingan tepat pada masanya
4. Mengajarkan segala ilmu yang diperolehi semasa sesi bimbingan kepada orang lain
Saya ingin berkongsi di sini, bab terakhir buku tersebut mengenai bimbingan yang diberi oleh Tony kepada penulis pada minggu terakhir iaitu mengenai hadiah dari satu legasi.
Mengikut Tony, legasi ialah apa yang telah kita lakukan dalam kehidupan kita. Legasi bermula apabila seseorang itu meninggalkan zon keselesaan dan melangkah masuk ke zon legasi. Untuk menghadiah sesuatu dari legasi, seorang itu memerlukan ilmu.
Zon legasi itu sendiri mempunyai 3 ruang. Ruang pertama ialah Ruang Membaca. Melalui ruang inilah seseorang itu dapat memperolehi ilmu yang banyak. Kejayaan seseorang mempunyai hubungan erat dengan tahap ilmu seseorang. Dengan membaca kita dapat memperolehi banyak jenis ilmu dari pengurusan kepada kepemimpinan, dari sains kepada falsafah. Masalahnya, ramai dari kalangan kita tidak mahu membaca sedangkan terdapat bertimbun-timbun buku di perpustakaan menunggu pengunjung datang membacanya.
Ruang kedua dalam zon legasi ialah ruang mendengar. Ramai pengurus organisasi bersikap taksub, tidak sensitif dan sombong diri kerana mereka tidak mempunyai keterampilan mendengar. Mereka tidak mahu mendengar maklumbalas dan luahan perasaan dari orang sekeliling mereka. Keterampilan mendengar boleh kita perolehi dengan banyak menghadiri seminar dan bengkel dan termasuklah menggunakan masa semasa memandu kereta dengan mendengar kaset-kaset ceramah bimbingan dan motivasi. Ketrampilan mendengar merupakan satu syarat penting untuk berjaya dalam hidup. Dalam satu sesi bimbingan minggu sebelumnya, penulis memetik Tony menamakan orang yang tidak mempunyai keterampilan mendengar sebagai mengalami 'psychosclerosis' iaitu keras minda. Orang yang mengalami keras minda ialah orang yang tidak mahu menerima pendapat orang lain dan pada peringkat yang teruk orang yang tertutup mindanya untuk mendengar pendapat orang lain. Alangkah indahnya agama kita apabila kita diingatkan supaya jangan berkata-kata ketika khatib membaca khutbah kerana ia boleh menghilangkan pahala jumaat. Bukankah ini satu peringatan betapa pentingnya keterampilan mendengar.
Ruang ketiga dalam zon legasi ialah ruang menyumbang. Untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat kita mestilah ada ilmu. Inilah titik permulaan zon legasi.
Hadiah dari satu legasi merupakan amal kebajikan yang kita sumbangkan kepada masyarakat semasa kita hidup. Ilmu dan amal kebajikan merupakan satu-satunya hadiah dari legasi kita yang berkekalan seperti maksud sebuah hadis berikut:
Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda :
“Apabila seorang anak Adam meninggal, maka akan terputus amalannya kecuali tiga perkara : shadaqoh jariyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak shalih yang mendoakan kepadanya” (HR Abu Hurairah)