Sunday, September 20, 2009

Selamat Menyambut Eidul Fitri

Alhamdulillah, hari ini kita menyambut kedatangan syawal, hari kita kembali semula kepada fitrah setelah menjalani tarbiyah terhadap nafsu sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak. Pemergian Ramadhan tentu menyedihkan kita setelah tekun menjalani ibadah puasa selama sebulan, semuga ibadah puasa kita mendapat keberkatan dan diterima Allah Taala. Ketibaan Syawal tentu disambut dengan penuh kesyukuran, berbekal dengan tarbiyah madrasah Ramadhan diharap kita dapat meningkat nafsu kita ke tingkat mutmainnah.
Begitulah sunnah kehidupan ini, kita perlu sentiasa memperbaiki diri dan prestasi agar ilmu dan amal kita meningkat.

Monday, September 14, 2009

THE FIQH OF MEDICINE


Buku ini pula saya beli pada 19 Ogos, 2003. Ianya merupakan sebuah tesis kedoktoran Dr Ahmed Abdel Aziz Yacoub, seorang Pakar Bedah Jantung yang juga lulusan Sarjana Muda dan Sarjana Undang-Undang dari Universiti Kaherah.
Buku ini membedah sumber perundangan Islam dan responnya terhadap perkembangan dan isu terkini dalam bidang sains perubatan. Buku ini setebal 349 mukasurat, diterbitkan oleh Ta-ha Publishers Ltd London pada tahun 2001. Ia mengandungi 10 bab - bab 1 hingga 5 memfokuskan perbicaraan mengenai Fiqh Islam dan pandangan Islam mengenai PerTanggunjawaban doktor perubatan dan para pesakit.
Manakala Bab ke 6 hingga 9 membincangkan isu isu terkini bidang perubatan seperti Eutanasia, Pencegahan Dan Pengguguran Kandungan, Reproduksi & Kloning dan Transplan Organ.
Isu-isu ini dikupas dari sudut pandangan mazhab-mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali.
Buku ini penting untuk dimiliki oleh doktor perubatan yang ingin mengamalkan ilmu perubatan dalam acuan dan perspektif Islam. Tujuan Syariah juga dijelaskan dengan mendalam, sumber sumber hukum-hakam syariah bermula dari Al-Quran dan Hadis, Qiyas dan Ijtihad juga dibincangkan dengan panjang lebar. Sikap hikmah para ulamak mazhab-mazhab hanafi, maliki, syafie dan hambali dalam menghadapi perbezaan pendapat mereka juga dijelaskan.

BUKU FAHAM ILMU - Pertumbuhan Dan implikasi


Alhamdulillah, aktiviti membaca saya dalam bulan Ramadhan al mubarak ini meningkat dari bulan yang lain. Saya sempat ulangbaca sebuah lagi buku dari koleksi peribadi saya yang berjodol : FAHAM ILMU - Pertumbuhan Dan Implikasi, setebal 126 halaman yang diterbit oleh Nurin Enterprise pada tahun 1990. Mengikut catatan dibuku, buku ini saya beli pada 1 Mei, 1993. Buku ini mengandungi sekumpulan esei yang ditulis oleh beberapa cendekiawan tempatan yang juga tokoh dalam bidangnya iaitu:
1. Di Sekitar Permaslahan Ilmu ; tulisan Dr Ghazali Basri
2. Pandangan Hidup Islam dan Implikasi Terhadap Pendidikan di Malaysia oleh Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
3. Pengislaman Ilmu - Peranan Para Cendekiawan ;tulisan Dr Siddiq Fadzil
4. Konsep Ilmu dan Implikasi kepada Perkembangan Kurikulum oleh Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
5. Budaya Ilmu tulisan Ahmad Muhammad Said.
Pengantar buku ini di tulis oleh Sdr Mohd Idris Jauzi.
Buku ini menjelaskan faham ilmu yang antara lainnya memetik takrifan ilmu yang dikembangkan oleh seorang Cendekiawan dan Pemikir kontemporari Islam yang tersohor, Prof. Syed Muhammad Naquib Al Attas iaitu takrifan yang pernah dikemukakan oleh Fakhruddin Al-Razi (m. 1209M) :" Merujuk kepada Allah sebagai sumber segala ilmu, ilmu adalah ketibaan makna ke dalam diri seseorang. Bila merujuk kepada diri sebagai penafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna sesuatu". Takrifan ini jelas sekali membezakan ilmu daripada maklumat atau fakta. Walaupun ilmu memerlukan maklumat akan tetapi ia memerlukan maklumat yang benar yang membawa makna kepada pemiliknya.
Kalau kita kaji, sejarah ilmu adalah sejarah kemanusiaan itu sendiri. Perbahasan mengenai ilmu telah bermula sejak zaman Yunani Kuno lagi. Teori keilmuan atau epistemologi cuba menjawab persoalan pokok seperti: Dari mana datangnya idea? Adakah ia lahir bersama sama kita? Adakah ianya terbit dari renungan dan pemikiran atau didapati dari pengalaman pancaindera kita?
Persoalan-persoalan di atas telah melahirkan fahaman Rasionalisme dan Empiricisme. Faham Rasionalisme mengatakan secara semula jadinya kita semua berfikir yang natijahnya kita mempunyai idea dan idea ini akan membentuk ilmu. Makalan Fahaham Faham Empiricisme pula mengatakan bahawa ilmu itu cuma diperolehi daripada pemerhatian kita kepada dunia di sekeliling kita.
Pokoknya, faham faham ini cuba memisahkan Allah sebagai sumber segala ilmu. Apabila pemisahan ini berlaku, ilmu akan membentuk faham 'sekular' yang cuma membicarakan hal masa kini dan hal di sini (waktu dan ruang semasa). Fahaman Sekularisme atau diisitilah oleh Prof. SM Naquib sebagai KEDISINIKINIAN inilah yang menyebabkan kita kehilangan adab. ADAB adalah merupakan pantulan dari HIKMAH di mana kita bertindak berdasarkan keadilan. Hikmah itu pula ilmu yang memberitahu kita tempat yang sesuai bagi tiap tiap sesuatu. Kehilangan ADAB inilah yang mengancam kita sekarang.
Di zaman ICT ini, adakah kita betul betul mendapat ilmu atau cuma "maklumat" sahaja, bak kata Penyair T S Elliot (dalam The Rock):
" All our knowledge brings us nearer to our ignorance
All our ignorance brings us nearer to death
But nearest to death no nearer to God
Where is the life we have lost in living?
Where is wisdom we have lost in knowledge?
Where is knowledge we have lost in information?"

Thursday, September 10, 2009

MINDA MELAYU BARU


Dalam bulan Ramadhan ini, saya mengulangbaca beberapa buku dari koleksi peribadi saya. Salah satu dari buku yang sempat saya ulangbaca ialah buku berjodol 'MINDA MELAYU BARU' yang memuatkan kumpulan artikel tulisan Mantan Presiden ABIM, Ustaz Dr Siddiq Fadzil. Kumpulan artikel tulisan beliau ini pernah disiarkan dalam kolum MINDA Akhbar Berita Minggu lebih sedekad yang lalu. Buku ini setebal 190 halaman mengandungi 5 BAB.
BAB-BAB ini diberi jodol tertentu sperti berikut :
Bab 1: Melayu Baru dan Cabaran Abad 21 mengandungi 6 artikel.
Bab 2: Dinamika Berfikir dan Budaya Ilmu mengandungi 8 artikel
Bab 3: Islam dalam Sejarah dan Tradisi Politik Melayu dengan 4 artikel
Bab 4: Islam dan Budaya Kerja dengan 5 artikel dan
Bab 5: Islam dalam Realiti Masyarakat Masakini yang mengandungi 8 artikel.
Buku ini diterbit oleh Institut Kajian Dasar (IKD) pada tahun 1992(Cetakan Pertama). Buku ini menggambarkan minda Dr Siddiq Fadzil yang melihat beberapa isu semasa dari perspektif Islam. Banyak rujukan terhadap konsep yang diperkenalkan oleh Prof. Dr Muhammad Naquib Al-attas juga diketengahkan.
Saya ingin memetik artikel pertama dalam Bab ke 5 yang bertajuk : MENYOROT TITIK-TITIK KELEMAHAN UMAT. Dalam artikel ini, Dr Siddiq memaparkan 4 gejala kelemahan yang menghambat kebangkitan umat menurut pandangan Almarhum Bapak Muhammad Natsir, mantan Perdana Menteri Indonesia dan Tokoh Masyumi itu.
Pak Natsir mengatakan bahawa umat Islam rata-rata dilanda 4 masalah iaitu:
1. Ketiadaan Inventarisasi 2. Hobi bermusuhan 3. Tidak menghargai diri 4. Rakus dunia, Takut pada risiko.
Ketiadaan Inventarisasi bermaksud kekeringan idea dan kemuflisan daya cipta sehingga tidak mampu mengembang dan memanafaatkan potensinya. Masalah ini bagi saya masih begitu menggejala di kalangan umat di era globalisasi ini, di mana di saat ini kita cuma rela menjadi pengguna bukan pencipta. Kita mengalami gejala 'captive mind' hasil daripada sistem pendidikan yang kita lalui.
Menjelaskan hobi bermusuhan, Pak Natsir menurut artikel Dr Siddiq itu, umat Islam sangat senang punya lawan. Kalau ada musuh mereka bersatu, bila musuh sudah tiada, mereka mencari musuh di kalangan sendiri. Gejala ini bagi saya masih jelas di kalangan para politikus dewasa ini. Seolah olah kita memang sudah berbudaya begitu.
Selanjutnya, Pak Natsir menjelaskan masalah sikap tidak menghargai diri di mana umat Islam tidak tahu nilai diri dan segala yang mereka miliki. Mereka cuma mampu menilai atau terpengaruh dengan kemilau yang dimiliki orang lain. Mereka lebih mudah kagum dengan segala keanehan dari luar. Mereka tidak menyedari bahawa diri mrekea dan milik mereka sebenarnya lebih unggul dari semuanya itu.
Masalah umat yang keempat iaitu rakus pada dunia dan takut pada risiko adalah berdasar kepada hadith Hubbu 'ddunya wa karahiyyatu 'l-mawt. Mungkinkah gelaja ini yang menjadi penyebab utama penyakit rasuah yang terus mengakar di negara kita dewasa ini.