Thursday, November 11, 2010

NEGERI 5 MENARA



Saya mengetahui mengenai Novel Negeri 5 Menara karya Ahmad Fuadi menjelang Syawal tahun ini. Ianya dari paparan di Facebook seorang sahabat mengenai video temuramah dengan penulis yang diterbit oleh TV PTS, penerbit novel tersebut di Malaysia. Sejak itu saya mencari dan terus mencari novel ini di banyak toko buku di seluruh pelosok Bandaraya Kuching.
Akhirnya pada tanggal 30 Oktober 2010, saya ketemu dengan novel ini di Toko Buku MPH di The Spring Kuching. Seperti orang yang dah lama lapar, saya terus sambar dan beli novel ini saat itu juga tanpa melengahkan masa. Sejak hari itu saya membaca Novel ini mengikut urutan bab-babnya, walaupun saya selalunya akan membaca secara sepintas lalu setiap bab secara langkau dalam sesebuah buku yang baru dibeli. Tapi untuk Novel ini saya baca dan baca dari bab ke bab berikutnya mengikut urutan setiap kali saya ada masa lapang.
Ternyata, novel Negeri 5 Menara ini amat menginspirasi yang menyebabkan saya ketagih membacanya. Kadang kadang saya merasakan diri saya bersama dengan watak watak dalam novel itu kerana saya juga pernah merantau menjadi penuntut ilmu, meninggalkan ibubapa dan kampong halaman.
Novel ini ternyata layak menjadi 'best seller' dan saya tidak terkejut ianya sudah menjangkau lebih dari 100 000 naskah dijual di Indonesia. Novel ini mengisahkan Alif Fikri yang dalam dilema antara memilih untuk belajar antara aliran akademik dan aliran agama. Ibunya meminta dia belajar aliran agama untuk menjadi seperti Buya Hamka tetapi dia sendiri pula kepingin hendak belajar aliran akademik untuk menjadi seperti Pak Habibie.
Sebagai anak yang taat dengan orang tua, dia menurut kehendak ibunya namun sebagai tanda protes dia memilih untuk belajar di Pondok Madani di Pulau Jawa, hasil nasihat melalui surat dari Pak Cik Gindonya yang belajar di Mesir.
Di Pondok Madani (PM) inilah Alif bertemu dengan 5 orang sahabat karibnya iaitu Raja, Dulmajid, Atang,Baso dan Said. Pondok inilah yang membentuk mereka menjadi orang yang berjaya menguasai dua bahasa dunia iaitu bahasa Arab dan Inggeris. Sistem pendidikan di PM yang berterusan selama 24 jam menekankan ilmu mengenai kehidupan dan ilmu agama.
Di sinilah mereka dilatih mengamalkan disiplin hidup dan menjadi orang yang patuh kepada peraturan. PM ini memberi peluang kepada Alif untuk menguasai bidang penulisan, pidato,fotografi dan bahasa Inggeris.
Hari pertama di kelas, mereka telah diperkenalkan dengan satu mentera sakti iaitu Man Jadda wajada. Mentera yang bermaksud 'Siapa yang bersungguh sungguh, dia berjaya' ini telah membakar semangat Alif dan para sahabatnya untuk mencapai kejayaan. Selain daripada itu kebijaksanaan pimpinan PM yang diketuai oleh Kiai Rais merupakan kekuatan utama yang telah mentransformaikan mereka menjadi orang yang berjaya dan berjasa setelah habis tempoh pembelajaran selama 4 tahun.
Sistem Pendidikan di PM persis sistem hidup yang kita lalui di dunia ini. Alif dan para sahabatnya sentiasa dipantau oleh bahagian disiplin melalui jasusnya (perisiknya). Jika bersalah mereka akan dihadap ke Mahkamah Disiplin. Mahkamah Disiplin ini jugalah yang menyimpan segala rekod kesalahan mereka yang telah dicatit oleh jasus (perisik). Ini mengingatkan saya dengan pengawasan yang dibuat oleh malaikat Rakid dan Atid dan mahkamah disiplin dengan buku kesalahan juga mengingatkan kita dengan hari penentuan nanti.
Ternyata Alif dengan 5 sahabatnya yang mereka gelar sebagai sahibul menara sentiasa berkumpul di bawah menara masjid sebelum menjelangnya waktu maghrib. Sambil memerhatikan awan senja di langit, mereka melihat awan itu seperti benua-benua yang jauh di dalam hati mereka terletak impian untuk belajar di sana. Akhirnya impian impian inilah yang mereka capai sekarang.
Novel Negeri 5 Menara mengisahkan kisah nyata Alif watak pengarang sendiri. Inilah satu faktor mengapa novel ini hidup dan menjadi 'best seller', kerana isinya bersandarkan pengalaman nyata yang amat memberi inspirasi. Alif dan watak para sahabatnya dapat kita temui secara nyata kerana mereka memang wujud. Para pembaca novel ini telah menemui 5 daripada 6 watak ini dalam rancangan realiti KickAndy. Rakaman rancangan ini boleh diakses di YouTube dengan menaip nama pengarang atau novel dalam kotak pencarian.
Banyak yang saya pelajari dari novel ini, malah hampir kesemuanya kisahnya saya lalui semasa saya penjadi penuntut ilmu di Negeri Kedah dari tahun 1977 hingga 1981 atas tajaan Yayasan Sarawak. Yang jelas saya senaraikan 7 pengajaran utama seperti berikut yang saya kutip:
1. Berdisiplin dan tidak melanggar hukum. Dalam Bab 9, ms87 - Awal daripada kekacauan hukum adalah apabila orang meremehkan peraturan dan tidak ada yang menegakkan hukum
2. Bersungguh sungguh dalam semua pekerjaan, pasti akan berjaya : Man Jadda Wajada
3. Mempunyai cita cita yang jelas
4. Berusaha melebihi usaha orang lain. Dalam bab 13 ms 126-127, nasihat Ustaz Salman supaya mengamalkan "going the extra miles" dan prinsip Said ms 459 : 'saajtahidu fauqa mustawa al-akhar':Aku akan berjuang dengan usaha di atas rata rata yang dilakukan oleh orang lain
5. Jangan terganggu dan musnah oleh faktor luaran. Bab 13, ms127 Kata Ustaz Salman: Tidak pernah mengizin diri kalian dipengaruhi oleh unsur di luar diri kalian.
6. Buatlah yang terbaik bak pesanan Kian Rais ms 451 : Keluarlah dari PM dengan husnul khatimah, akhir yang baik
7. Tahan dan bersabar menempuh dugaan. Man shobara, zafhira: Siapa yang bersabar, dia beruntung.
Akhirnya, saya mengucapkan tahniah kepada Saudara Ahmad Fuadi kerana sudi berkongsi khazanah pengalaman yang sungguh memberi inspirasi melalui Novelnya Negeri 5 Menara. Juga ucapan setinggi tinggi terima kasih kepada PTS yang sudi menerbit dan mengolah bahasa novel untuk bacaan pembaca di Malaysia. Saya syorkan beli dan bacalah buku ini, anda pasti tidak akan rugi.
*ms yang dirujuk di atas adalah berdasar novel Negeri 5 Menara yang diterbit oleh PTS Litera.
Nota:
Buku kedua penulis akan terbit di Indonesia dalam masa terdekat bertajuk RASAH 3 WARNA.


Friday, June 18, 2010

BENGKEL Buat Duit Dengan Menjadi Penulis Sambilan





Pada 12 dan 13 Jun yang lalu, saya menyertai bengkel penulisan anjuran RK Management. Fasilitator bengkel penulisan ialah Tuan Syahrul Nizam Junaini. Beliau merupakan penulis Sarawak yang terkenal dengan buku: Ilmu Pengaruh Bukan Jampi tetapi seni. Seramai 10 orang peserta menghadiri bengkel ini yang julung kali diadakan ini.
Sepanjang dua hari, kami telah diajar membedah majalah dan buku. Hari pertama kami didedahkan dengan teknik menulis artikel untuk majalah. Hari kedua kami mempelajari cara membuat proposal buku pula. Untuk amalinya kami dikehendaki menyiap satu artikel untuk majalah dan rangka buku yang akan ditulis.
Bagi saya, teknik ATM (Amati, Tiru dan Modifikasi) dan kaedah KJ (Kawakita Jiro) amat mengujakan. Ianya ibarat 'machine gun'.
Pelaburan saya menyertai bengkel ini amat berbaloi. Selain dari mendapat ilmu dan tips penulisan, saya berkenalan dengan peserta-peserta yang hebat hebat belaka. Selain dari anak muda bernama Abdul Razak Bahtrem, pemilik RK Management yang sentiasa berjiwa besar dan bersemangat tinggi, saya bertemu dengan dua penulis terkenal. Penulis penulis itu ialah Tuan Syahrul Nizam sendiri dan Cikgu Jais Sahok. Cikgu Jais Sahok yang kaya dengan pengalaman dan ilmu menulis telah berkongsi pengalaman tersebut dengan kami.
Di hari terakhir bengkel, kami bersepakat untuk menubuhkan kumpulan alumni untuk bengkel ini. Saya sendiri tak sabar menunggu bengkel susulan pada 17 Julai nanti yang akan mengajar cara menulis buku motivasi dan bantu diri.