Sunday, December 20, 2009

BELASUNGKAWA : Pemergian Sdr Anthony Yeo



Dalam usaha saya membuat pencarian di FACEBOOK(fb) terhadap beberapa nama orang yang memberi impak terhadap keilmuan saya, saya terkejut menemui laman fb yang disumbangkan untuk Mendiang Anthony Yeo,yang telah meninggal dunia pada bulan Jun, 2009 yang lalu, klik di sini. Saya sebenarnya, bukanlah pelajar yang belajar kaunseling secara formal dengan beliau tetapi saya menganggap diri saya sebagai murid kepadanya. Perkara ini berlaku begitu lucu sekali. 10 tahun yang lalu, saya menjumpai salinan buku beliau 'Counselling : A problem-solving Approach' di sebuah pusat fotokopi. Pekerja fotokopi tersebut menjualnya kepada saya kerana orang yang mem'fotokopi' buku tersebut menolak salinan yang dibuat kerana tidak begitu teratur dan baik mutunya. Membaca buku tersebut telah menambahkan kefahaman saya mengenai ilmu kaunseling. Buku beliau telah memperkenalkan pendekatan kaunseling dengan menggunakan kaedah menyelesaikan masalah. Beliau telah memperkenalkan kaedah yang dinamakan 'PADI'. Semenjak itulah saya telah menggunakan kaedah PADI dalam memberi kaunseling kepada pesakit saya. Saya bertuah kerana pada bulan Mei, 2008 saya berkesempatan untuk menghadiri kursus kaunseling yang diberi oleh beliau anjuran Persatuan Wanita Sarawak. Kursus kaunseling sebagai persediaan menghadapi keadaan krisis dan trauma itu telah meyakinkan saya bahawa Anthony Yeo memang seorang yang tinggi ilmu dan kepakarannya dalam bidang psikologi dan kaunseling. Saya sempat membeli buku asal " COUNSELING : A Problem-Solving Approach" dan meminta beliau menandatangani buku tersebut.
Selain daripada itu, semasa kursus tersebut beliau telah mengungkapkan satu kata-kata yang menyentuh perasaan saya hingga kini. ketika itu saya kebetulan baru menghadapi kehilangan ayahanda tercinta yang pulang mengadap ilahi. Kata-kata Anthony yang hingga kini begitu mengesankan ialah semasa di kuburan ibunya, kata Anthony beliau menulis "In Live you live for us; In death, you live in us". Kata-kata inilah yang selalu mengingatkan saya kepada jasa ayahanda sepanjang hayatnya.
Pemergian Sdr Anthony Yeo pada bulan Jun tahun ini merupakan kehilangan yang amat besar kepada dunia kaunseling di Asia Tenggara kerana beliau telah berjaya menjadikan bidang kauseling satu bidang yang menarik dengan memperkenalkan kaedah PADI yang sesuai untuk digunakan dengan keadaan semasa di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Belasungkawa! Semuga keluarga beliau bersabar menghadapi dugaan ini.
Ulasan saya mengenai buku beliau boleh dibaca di sini.

1 comment:

EmmyIllyani said...

Salam Dr. saya temui Dr melalui laman fb sahabat. tertarik dengan buku counseling A tu. utk pengetahuan Dr. saya baru lepas menjalani pembedahan jantung. baru lepas berhenti kerja. namun saya mahu redha & sangat positive utk hadapi dunia semula selepas ini. mungkin saya buleh dapatkan buku ini di kL ya :) trima kaseh kerana berkongsi :) wassalam