Monday, September 14, 2009

BUKU FAHAM ILMU - Pertumbuhan Dan implikasi


Alhamdulillah, aktiviti membaca saya dalam bulan Ramadhan al mubarak ini meningkat dari bulan yang lain. Saya sempat ulangbaca sebuah lagi buku dari koleksi peribadi saya yang berjodol : FAHAM ILMU - Pertumbuhan Dan Implikasi, setebal 126 halaman yang diterbit oleh Nurin Enterprise pada tahun 1990. Mengikut catatan dibuku, buku ini saya beli pada 1 Mei, 1993. Buku ini mengandungi sekumpulan esei yang ditulis oleh beberapa cendekiawan tempatan yang juga tokoh dalam bidangnya iaitu:
1. Di Sekitar Permaslahan Ilmu ; tulisan Dr Ghazali Basri
2. Pandangan Hidup Islam dan Implikasi Terhadap Pendidikan di Malaysia oleh Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
3. Pengislaman Ilmu - Peranan Para Cendekiawan ;tulisan Dr Siddiq Fadzil
4. Konsep Ilmu dan Implikasi kepada Perkembangan Kurikulum oleh Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
5. Budaya Ilmu tulisan Ahmad Muhammad Said.
Pengantar buku ini di tulis oleh Sdr Mohd Idris Jauzi.
Buku ini menjelaskan faham ilmu yang antara lainnya memetik takrifan ilmu yang dikembangkan oleh seorang Cendekiawan dan Pemikir kontemporari Islam yang tersohor, Prof. Syed Muhammad Naquib Al Attas iaitu takrifan yang pernah dikemukakan oleh Fakhruddin Al-Razi (m. 1209M) :" Merujuk kepada Allah sebagai sumber segala ilmu, ilmu adalah ketibaan makna ke dalam diri seseorang. Bila merujuk kepada diri sebagai penafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna sesuatu". Takrifan ini jelas sekali membezakan ilmu daripada maklumat atau fakta. Walaupun ilmu memerlukan maklumat akan tetapi ia memerlukan maklumat yang benar yang membawa makna kepada pemiliknya.
Kalau kita kaji, sejarah ilmu adalah sejarah kemanusiaan itu sendiri. Perbahasan mengenai ilmu telah bermula sejak zaman Yunani Kuno lagi. Teori keilmuan atau epistemologi cuba menjawab persoalan pokok seperti: Dari mana datangnya idea? Adakah ia lahir bersama sama kita? Adakah ianya terbit dari renungan dan pemikiran atau didapati dari pengalaman pancaindera kita?
Persoalan-persoalan di atas telah melahirkan fahaman Rasionalisme dan Empiricisme. Faham Rasionalisme mengatakan secara semula jadinya kita semua berfikir yang natijahnya kita mempunyai idea dan idea ini akan membentuk ilmu. Makalan Fahaham Faham Empiricisme pula mengatakan bahawa ilmu itu cuma diperolehi daripada pemerhatian kita kepada dunia di sekeliling kita.
Pokoknya, faham faham ini cuba memisahkan Allah sebagai sumber segala ilmu. Apabila pemisahan ini berlaku, ilmu akan membentuk faham 'sekular' yang cuma membicarakan hal masa kini dan hal di sini (waktu dan ruang semasa). Fahaman Sekularisme atau diisitilah oleh Prof. SM Naquib sebagai KEDISINIKINIAN inilah yang menyebabkan kita kehilangan adab. ADAB adalah merupakan pantulan dari HIKMAH di mana kita bertindak berdasarkan keadilan. Hikmah itu pula ilmu yang memberitahu kita tempat yang sesuai bagi tiap tiap sesuatu. Kehilangan ADAB inilah yang mengancam kita sekarang.
Di zaman ICT ini, adakah kita betul betul mendapat ilmu atau cuma "maklumat" sahaja, bak kata Penyair T S Elliot (dalam The Rock):
" All our knowledge brings us nearer to our ignorance
All our ignorance brings us nearer to death
But nearest to death no nearer to God
Where is the life we have lost in living?
Where is wisdom we have lost in knowledge?
Where is knowledge we have lost in information?"

No comments: